Imbasan Sejarah

Penubuhan PSM

Penubuhan Persatuan Sejarah Malaysia

Sebelum Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) ditubuhkan secara rasmi pada 30 April 1953 sudah wujud beberapa organisasi yang bergerak secara sukarela di Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Yang paling tua dan masyhur sekali ialah The Malayan Branch Royal Asiatic Society (dulu The Malayan Branch of Royal Asiatic Society) yang jika dikaitkan dengan badan yang lebih awal iaitu Straits Branch of Royal Asiatic Society telah ditubuhkan pada tahun 1878 lagi iaitu lebih kurang 118 tahun dahulu dan penerbitannya, The Journal of the Malaysia Branch of Royal Asiatic Society (JMBRAS) sudahpun terkenal ke seluruh dunia memperkatakan tentang sejarah,kebudayaan,sastera dan adat resam seluruh rantau ini iaitu Malaya, Singapura,Brunei, Sarawak dan Borneo Utara kecuali Indonesia.

Di peringkat negeri pula Muzium Sarawak bergerak aktif dalam kerja kemuziuman dan arkeologi. Jurnal yang tinggi nilainya berjaya dihasilkan dan tersebar luas ke seluruh Eropah dan America. Begitu juga di Sabah yang akhirnya ditubuhkan The Sabah Historical Society pada tahun 1960, juga dengan jurnal profesionalnya sendiri. Tetapi persatuan sejarah yang paling awal ialah The Malacca Historical Society (Persatuan Sejarah Melaka) yang ditubuhkan kira-kira pada tahun 1930 dan The Penang Historical Society (Persatuan Sejarah Pulau Pinang) yang dijangka juga telah ditubuhkan pada waktu yang sama. Pertumbuhan awal dua persatuan ini dapat dimaklumi kerana Melaka dan Pulau Pinang adalah Negeri-Negeri Selat yang menerima kuat pengaruh orang barat. Kesedaran dan tradisi cintakan sejarah yang lebih menebal di kalangan pegawai Inggeris telah mempelopori penubuhan dua persatuan itu lebih dua setengah dekad lebih awal daripada negeri-negeri Melayu.

Persatuan sejarah juga wujud di pusat pengajian tinggi, maktab, serta sekolah Inggeris yang sudah banyak didirikan di Tanah Melayu, Singapura, dan Borneo sebelum Perang Dunia Kedua. Historical Society tidak dapat dipastikan wujud di Raffles College, Singapura, tetapi ramai guru siswazah yang lulus dari situ mengajar sejarah selepas perang. Di Universiti Malaya, Singapura, Historical Society sudah wujud pada awal 50-an. Begitu juga di maktab perguruan. Namun begitu yang agak masyhur, giat tertubuh selepas perang ialah The Historical Society, Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar yang berjaya menghasilkan majalahnya The Gate beberapa lama di bawah pimpinan Cikgu Radzi Puteh. Persatuan untuk guru sejarah cuma wujud tahun 1964 iaitu History Teachers Association (HITAM) tetapi selepas beberapa keluaran penerbitannya Peninjau Sejarah lenyap awal 70-an.

 

eecthuraisingamHasrat murni untuk menubuhkan PSM di taraf nasional tersimpul dalam surat Datuk E.E.C. Thuraisingam, Ahli Pendidikan (setaraf Menteri Pendidikan pada waktu ini) yang merupakan salah seorang pengasas Persatuan Sejarah Malaysia.

Sebahagian kandungan surat beliau amat penting untuk kita memahami matlamat asal PSM ditubuhkan. Beliau menulis:

 

"Adalah dicadangkan kepada saya bahawa perlu ditubuhkan sebuah badan pusat atau persatuan yang akan bertanggungjawab untuk menggalakkan rakyat dari semua kaum supaya berminat dalam kebudayaan dan sejarah Malaya. Adalah difikirkan bahawa "Royal Asiatic Society" Cawangan Malaya dan "Nature Society" mungkin tidak mempunyai daya penarik yang meluas dan adalah lebih elok kalau sebuah persatuan lain ditubuhkan. Ini secara langsung akan merangsangkan penubuhan persatuan-persatuan sejarah tempatan (mungkin berbentuk seperti Persatuan Sejarah Melaka) dan seterusnya memberi sokongan aktif kepada persatuan-persatuan sedia wujud."

 

Gerald Walter Robert Templer 2Hasrat yang paling jelas sama ada tersurat mahupun yang tersirat mengenai penubuhan PSM terkandung dalam ucapan Pesuruhjaya Tinggi, General Sir Gerald Templer dalam ucapan perasmiannya di Town Hall, Kuala Lumpur pada 30 April 1953.

Antara lain yang ditekankan oleh beliau ialah:

  • PSM merupakan satu usaha untuk menggembling semua bangsa di Malaya ini untuk menjadi satu rupa bangsa yang tunggal bagi menghadapi masa dan destini zaman menghadapi kemerdekaan.
  • Kesedaran bahawa kurang sekali pengetahuan mengenai perjuangan dan pencapaian generasi awal di kalangan anak-anak muda dan ini adalah kesalahan generasi tua juga yang tidak menanamkan semangat dan tidak memberi petunjuk kepada generasi muda tentang tradisi serta pencapaian rakyatnya.

Bagi Templer, sesuatu bangsa yang tidak dapat menoleh ke belakang dengan bangga tidak mungkin dapat mara ke hadapan dengan yakin pada masa depan. PSM juga dijangka akan menokok tambah kerja dan berganding dengan organisasi yang lebih tua seperti Royal Asiatic Society. Di samping itu PSM diharap akan menjadi satu gerakan yang sedikit berbeza iaitu dengan maksud pengetahuan yang dikutip mengenai sejarah itu akan disebar luas kepada rakyat.

General Templer telah menyebutkan bahawa:

"This is not a Society for the Government, for the educated, or for any class or section of the populations, it is for everybody, and everybody has something to contribute to it".

 

mahmudmatDalam ucapan Datuk Mahmood bin Mat, Yang DiPertua pertama PSM, menyatakan bahawa beliau berharap PSM akan menjadi persatuan yang akan mengabdi diri kepada rakyat biasa di kampung-kampung. Jelas sekali bahawa dari awal lagi teras perjuangan PSM ialah untuk memberi kesedaran sejarah kepada masyarakat umum atau "memasyarakatkan sejarah".

Badan lain seperti Malaysian Branch of Royal Asiatic Society dan badan profesional dan muzium telah mencapai kejayaan besar dalam membuat penyelidikan ilmiah dan profesional. Tetapi khalayaknya amat terhad kepada orientalis, pegawai tinggi kolonial dan juga sarjana universiti. Untuk pertama kali timbul hakikat betapa pentingnya sejarah dari segi penggemblingan semangat untuk pembangunan bangsa baru.

Di samping matlamat tersurat, penubuhan PSM di tengah-tengah kancah zaman darurat juga mempunyai agendanya yang tersembunyi. General Templer sebagai seorang panglima tentera yang terlatih dan berpengalaman, dikirim khas oleh Perdana Menteri Winston Churchill untuk memusnahkan ancaman pengganas komunis di Malaya. Beliau sudah tentu akan menggunakan pelbagai strategi dan taktik psikologi perang untuk mengalahkan musuhnya. Penubuhan badan warisan massa seperti PSM dilihat sebagai satu strategi "winning the hearts and minds" rakyat. Untuk sama-sama bersatu menentang komunisme. Mungkin ini juga perancangan Sir Malcolm McDonald, Commissioner General British di Asia Tenggara yang menyokong penuh penubuhan persatuan sejarah sejak awal-awal lagi.

 

PSM dilahirkan dalam satu majlis gilang-gemilang, empat tahun sebelum merdeka iaitu pada 30 April 1953. Majlis yang penuh sesak itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer dengan disaksikan oleh beberapa orang Raja Melayu seperti Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Kedah, Sultan Terengganu, Tengku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Perak, Wakil Raja Perlis dan Pembesar tempatan seperti Datuk Onn Jaafar, Datuk Thuraisingam, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Tan Cheng Loke, Datuk Mahmud Mat, Encik Mustapha Al-Bakri, Prof. C.N. Parkinson, Tuan Za'ba dan L.D. Whitfield.

Majlis PSM yang pertama dilantik pada akhir persidangan tersebut terdiri daripada Yang Dipertua: Dato' Mahmud bin Mat, "Member" Tanah, Galian dan Perhubungan, Naib Yang DiPertua: Dato' E.E.C. Thuraisingam, Dato' Nik Ahmad Kamil, dan Dato' Sir Cheng Lok Tan. Ahli Majlis pula ialah M.C. ff. Sheppard, Mustapha Al-Bakri, L. Whitfield, H.H. Beamish, Dato' F.W. Douglas, Haji Zainal Abidin bin Ahmad, Ng Seo Buck, Rev. Yeh Hua Fen, G. Hawkins, K. Ramanathan, S. Thuraisingam, J.C. Bottoms dan Mohd Mohideen. Setiausaha Kehormat J.C. Loch, M.C.S Bendahari Kehormat: Yong Pun How.

tunku abdul rahmanYang Dipertua pertama, Dato' Mahmud bin Mat merupakan speaker pertama Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik sebagai Penaung PSM bermula tahun 1964 hingga 1996. 0000 tun abdul razakTun Abdul Razak Hussien adalah penyandang jawatan Presiden PSM yang paling lama (1958 - 1971). Sejak tahun 1996, Tun Dr. Mahathir Mohamed dilantik sebagai Penaung PSM.

PSM telah dari mula-mula lagi cuba menggemblingkan seluruh tenaga kepegawaian dari yang paling rendah hingga yang paling tinggi untuk sama-sama berganding bahu berjuang dalam persatuan. Ini termasuklah Menteri Besar. Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah. Orang-Orang Besar Jajahan, Pegawai Pendidikan, Guru Besar dan Guru serta orang perseorangan. Semua itu dirancangkan sebagai satu pergerakan masa yang berwawasan.

 

Pada tahun 1955 Cawangan PSM sudah wujud di Perak Utara - Kuala Kangsar, Taiping (1953), Kinta (1954) - Perak Selatan, Kuala Lumpur (1953), Singapura (1953), Seremban (1954), Kota Bharu (1954), Kuantan (1954), Kedah dan Terengganu (1956). Persatuan Sejarah Melaka dan Persatuan Sejarah Pulau Pinang mengambil keputusan bergabung dengan PSM pada tahun 1971. Menjelang 1972 bilangan Cawangan PSM berjumlah sebelas buah. Kini PSM mempunyai 14 Cawangan di peringkat negeri iaitu di Perak (1955) Kedah (1957) Negeri Sembilan (1959) Selangor (1962) Pahang (1962) Perlis (1968) Johor (1969) Terengganu (1971) Melaka (1971) Pulau Pinang (1971) Kelantan (1972) Sarawak (1972) Sabah (1973), dan Wilayah Persekutuan (1980). Antara 14 Kawasan atau Daerah hanya Batu Pahat dan Muar masih tinggal aktif. Setiap Cawangan bergerak atas perlembagaannya yang diasaskan kepada Perlembagaan induk PSM dalam melaksanakan aktiviti warisan di peringkat negeri, menjadi perujuk sejarah tempatan dan menghasilkan terbitan mereka sendiri.

Sesuai dengan kehendak perlembagaan, PSM bergerak dalam pelbagai aktiviti dari semasa ke semasa seperti mengelolakan dan menganjur bersama pihak lain seperti universiti, seminar dan persidangan, karangan/esei dan perdebatan, kuiz, pameran untuk belia dan dewasa, mengadakan lawatandan kajian di dalam dan di luar negara, memperakukan peninggalan bangunan yang berunsur sejarah, dipulih dan diabadikan dan kadang kala membuat pendirian umum melalui media terhadap pelbagai isu sejarah bahkan isu politik. Antara pencapaian yang kurang diketahui ramai ialah PSM telah memperolehi kerjasama Pengarah Pelajaran Negeri untuk membuat kajian dan menghasilkan buku sejarah mengenai perkembangan sekolah dan pendidikan di Negeri Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor dan Johor. Sumbangan ini amat tinggi nilainya dari segi rakaman yang memungkinkan pengkaji melihat gambaran dan perkembangan pendidikan di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

 

Pembinaan batu atau papan tanda peringatan adalah satu lagi kegiatan penting PSM yang diusahakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian Pelancongan. Batu peringatan ini dibina di tempat bersejarah seperti Kota Lukut, Makam Bendahara Abdul Jalil di Kota Tinggi, Makam Sultan Alauddin di Pagoh - Muar; Kota Kuala Kedah, Kota Raja Mahadi di Klang, Kota Cornwalis di Pulau Pinang, Makam Almarhum Kayang di Perlis dan beberapa tempat bersejarah di Melaka; Kota Tanjung Keramat, dan Kota Melawati di Selangor.

Sebelum ini PSM merancang dua projek besar iaitu untuk menghasilkan buku Sejarah Malaysia belum menjadi kenyataan. Cadangan ini dicetuskan oleh Datuk Hussein Onn sebagai Yang DiPertua PSM pada tahun 1973. Projek yang pertama itu tidak dapat dijalankan kerana PSM sendiri kesuntukan wang dan tenaga kepakaran. Projek muzium sejarah pula diambil alih oleh kerajaan pusat sendiri dalam rangka rancangan pembangunan Kompleks Muzium Negara.

 

Pada peringkat awal ibu pejabat PSM ditempatkan di Muzium Negara Malaysia sebelum berpindah ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1976, Kerajaan Malaysia telah memberikan sebuah rumah kerajaan di 958 Jalan Hose Kuala Lumpur untuk dijadikan ibu pejabat PSM yang dirasmikan oleh Tun Hussein Onn pada 31 Ogos 1976.

ibupejabathorse

 

Perancangan untuk memiliki ibu pejabat dan bangunan sendiri mula dibuat setelah kerajaan menganugerahan kepada PSM sebidang tanah di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. PSM berhutang budi kepada Tun Hussein Onn atas usahanya sehingga berhasil mendapat tanah anugerah kerajaan ini. Pada 1 Disember 2003, ibu pejabat PSM secara rasmi berpindah ke bangunan yang dinamakan Wisma Sejarah yang terletak di 230 Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

 

wisma

 

 

Imbasan Sejarah

Tun Hussein Onn merasmikan ibu pejabat PSM di 958 Jalan Hose, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1976

LogoPSM

Hubungi Kami

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA
Aras 3, Anjung Wisma Sejarah,
230, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur, Malaysia.

03-2681 5388 / 2681 6388
03-2681 4388
psejmal@gmail.com
sej@psm.org.my

Waktu Operasi

Isnin - Khamis :
9:00 pagi - 1:00 petang
2:00 petang - 5:00 petang

Jumaat :
9:00 pagi - 12:30 tengahari,
2:30 petang - 5:00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum (Tutup)

Statistik Pelawat

0.png0.png6.png4.png5.png9.png2.png
Hari Ini22
Semalam108
Minggu Ini130
Bulan Ini3753
Jumlah Keseluruhan64592
high school diploma
high school diploma

high school diploma

high school diploma
high school diploma
high school diploma