Biodata Felo
Biodata Tuan Ismail Tuan Mohamed
Tuan Ismail Tuan Mohamed dilahirkan pada 5 May 1933 di Pasir Putih, Kelantan. Ketika Perang Dunia Kedua beliau mula mendapat pendidikan di Nippon Gogako (Sekolah Jepun) dan selepas itu di Sultan Ismail Primary School dan Sultan Ismail College (SIC) di Kota Bharu. Beliau mempunyai sejarah yang panjang di SIC bermula dalam tahun 1945 sebagai pelajar, kemudian sebagai guru sementara Pengajian Sastera Inggeris, diikuti pula dengan memegang jawatan sebagai guru ijazah (1963) dan akhirnya selaku pengetua (1964 -1965).
Ketika belajar di SIC, beliau dilantik sebagai Pengawas dan bergiat dalam Persatuan Suara Muda di bahagian seni muzik. Dalam tempoh menjadi guru sementara di SIC, beliau juga mengikuti kursus perguruan ‘Normal Class’ dan secara persendirian mengambil peperiksaan Overseas Cambridge Higher School Certificate sehingga berjaya melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti Malaya dan memperolehi B.A. (Hons) dalam Pengajian Melayu, Pengajian Islam dan Sejarah (Asia Tenggara) dalam tahun 1961. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana M.A. Educational Administration di University of British Columbia, Kanada pada tahun 1972.
Selepas berkhidmat sebagai Pengetua SIC (1964-1965), beliau seterusnya berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Kelantan (1965-1966); Pensyarah di Institut Bahasa (1966-1969); Timbalan Pengarah Pelajaran Pulau Pinang (1969-1971); Naib Pengetua Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Johor (1972-1974); dan Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak (1975-1977).
Sebagai Pengetua, beliau telah memecahkan tradisi MPSI pada tahun 1976 apabila menerima 140 pelajar perempuan menjelmakan MPSI sebagai sebuah institusi perguruan yang cemerlang dan terkemuka tanpa membezakan status dan jantina.
Ketika beliau menjadi Pengarah Pelajaran Sarawak (1977-1980), Tuan Ismail banyak terlibat dengan pembangunan sekolah-sekolah menengah baru dan juga pertukaran bahasa pengajaran dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.
Beliau kembali ke Semenajung dan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (1981-1987). Selepas bersara beliau menjadi pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, Selangor (1988-1993).
Penglibatan beliau dalam Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) bermula ketika beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Beliau sering diarahkan untuk menggantikan Tun Hamdan Sheikh Tahir (Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu) menghadiri mesyuarat di PSM untuk mewakili KPM. Kini beliau adalah Ahli Seumur Hidup dan juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSM.
Beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Jejak Sejarah dari 1990 hingga 1996. Sepanjang beliau menjadi ahli jawatankuasa LASBELA, beberapa program Jejak Sejarah berjaya diadakan di dalam dan luar negara, mengunjungi tempat-tempat bersejarah khususnya yang ada hubung kait dengan dunia Melayu dan Islam. Melalui program yang diadakan PSM berjaya menjalin hubungan yang rapat dengan intitusi dan pertubuhan sejarah dan warisan di luar negara. Ini membolehkan pelbagai aktiviti diadakan seperti pertukaran maklumat, kerjasama penyelidikan, penerbitan, dan penganjuran persidangan peringkat antarabangsa.
Beberapa program lawatan ke Indonesia termasuk:
i. Medan (Propinsi Sumatera Utara) dan Acheh (Propinsi Daerah Istimewa Aceh): 1-8 Mei 1990
ii. Padang (Propinsi Sumatera Barat), Jambi (Propinsi Jambi) dan Palembang (Propinsi Sumatera Selatan): 17-24 November 1991
iii. Surabaya (Propinsi Jawa Timur), Ujung Pandang dan Toraja (Propinsi Sulawesi Selatan): 26 April – 1 Mei 1994
iv. 1995 Padang (Propinsi Sumatera Utara), Banten (Propinsi Jawa Barat), dan Jakarta (Daerah Khusus Ibukota Jakarta): 1-8 Jun 1995
Tuan Ismail menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pusat Sumber/Perpustakaan PSM (1996-2009) ketika Pusat Sumber / Perpustakaan baru dibangunkan di Jalan Hose, Kuala Lumpur. Koleksi bahan dan kelengkapan semakin bertambah sehingga ruang yang lebih luas dan khusus disediakan untuk Perpustakaan PSM di Wisma Sejarah pada tahun 2003. Beliau juga telah menulis beberapa artikel untuk penerbitan Warkah PSM. Selain daripada itu beliau menjadi ahli Lembaga Majlis Kebudayaan Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia mewakili PSM pada tahun 2004.
Pada tahun 2001, Tuan Ismail telah dikurniakan pingat Kesatria Mangku Negara (K.M.N) oleh DYMM Yang Di Pertuan Agung. Anugerah darjah kebesaran ini telah dicalonkan oleh PSM semasa Tan Sri Omar Mohd Hashim sebagai Pengerusi PSM.
Beliau berkahwin dengan YM Raja Teh Halimah Raja Ahmad pada 2 Ogos 1963 dan dikurniakan dua cahayamata, Tengku Izura dan Tengku Idreena. Minat beliau termasuk bidang astronomi, fotografi, muzik dan juga melawat tempat bersejarah. Beliau sering mengikuti lawatan PSM ke tempat bersejarah seperti Turki (1997), Jordan (1997), Maghribi (1998), Sepanyol (1998) dan Mesir (2011). Foto dan video yang diambil oleh beliau ketika lawatan-lawatan ini sering beliau kongsikan dengan PSM.