Imbasan Sejarah
Tokoh & Penggiat Sejarah
Dato' Mahmud Mat
Raja Sir Uda Raja Muhamad
Tun Abdul Razak Hussein
Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir
Tokoh dan Penggiat Sejarah Dalam Gerakan PSM
Pada tahun 1957, Raja Sir Uda Raja Muhamad telah dipilih untuk menggantikan Dato’ Mahmud Mat yang telah menyandang jawatan presiden pertama. Raja Sir Uda diganti oleh Dato’ Abdul Razak Hussein sehingga tahun 1971. Tempat Tun Razak pula diganti oleh Dato’ Hussein Onn dari tahun 1972 hingga 1980. Seterusnya Datuk Musa Hitam dan diikuti oleh Encik Ghafar Baba menyandang jawatan tersebut.
Tun Hamdan Sheikh Tahir memainkan peranan penting dalam kemajuan dan perkembangan PSM, sejak beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Kerja pada tahun 1961. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja pada tahun 1966, menggantikan Aminuddin Baki yang meninggal dunia pada Disember 1965. Tun Hamdan merupakan penggerak besar dalam kegiatan menyemarakkan perjuangan warisan khususnya di kalangan anak muda dan guru sekolah. Beliau merupakan tokoh di belakang projek besar pertandingan menulis sejarah yang terbuka kepada sekolah menengah seluruh negara. Projek ini mendapat kejayaan cemerlang. Atas jasanya dan kepimpinannya beliau dianugerahkan Felo pertama PSM. Apabila beliau dilantik sebagai TYT Negeri Pulau Pinang, tempatnya diganti oleh Dato’ Omar Mohd Hashim (Timbalan Pengerusi PSM sejak 1976) pada tahun 1989.
Banyak lagi tokoh lain yang menyumbangkan tenaga yang amat tinggi nilainya kepada PSM. Antaranya ialah Mubin Sheppard, Khoo Kay Kim, J.S. Henry, Sujak Rahiman, dan Zainal Abidin Wahid. Di samping itu di Cawangan pula ramai tokoh dan penggiat sejarah yang berkecimpung dengan kegiatan setempat dan menyemarakkan nama mereka sebagai ahli sejarah dan perujuk tempatan. Antaranya ialah Kapten Mohamad Nor Mohamad (Cawangan Pulau Pinang), Kapten Mohd. Ali Maidin, Cikgu Yusof Harun, Abdul Aziz Tapa (Cawangan Melaka), Datuk Wan Ibrahim Wan Suloh, J.E. Augustine, Wan Shamsuddin Mohd. Yusof (Cawangan Kedah), Abdullah Mohamad, dan Shahrom Hussein (Cawangan Johor), Kapten Mohd. Ali Mohamad, Zakaria Hitam (Cawangan Pahang), Abdul Rahman Al-Ahmady, Abdullah Mohd (Nakula), dan Nik Mohamed Nik Mohd Salleh (PSM Cawangan Kelantan), dan Mohd Salleh Awang (Cawangan Terengganu). Semua tokoh yang disebutkan ini melalui kegiatan mereka, menulis, menggerakkan usaha penyelidikan dan membangunkan kesedaran telah turut memberikan sumbangan besar dalam mengharumkan nama PSM di seluruh negara.
Sudah banyak kejayaan dicapai sepanjang PSM menimba pengalaman dan membina kematangan. Tidak dinafikan masih banyak matlamat yang masih perlu diperjuangkan secara berterusan. Semua ini memerlukan komitmen yang kuat daripada ahli PSM sendiri. Tokoh lama sudah meninggalkan jejak dan kerangka yang memudahkan pimpinan PSM kini meneruskan wawasan yang digariskan pada tahun 1953 dahulu. Generasi baru yang akan mengambil alih kepimpinan PSM mesti dididik dan disemai dengan falsafah perjuangan PSM supaya hala tuju pertubuhan ini tidak terkeluar daripada landasan yang diamanahkan.
Perubahan pesat yang berlaku di negara ini khususnya dan di peringkat dunia sejagat amnya mendesak PSM turut bergerak seiring dengan perkembangan itu. Kehendak dan tuntutan masyarakat juga perlu dipenuhi dengan cara yang sesuai dan secocok dengan cita rasa mereka. Dengan sokongan dan bantuan daripada semua pihak PSM akan berusaha memenuhi harapan itu.
Imbasan Sejarah
Tun Hussein Onn merasmikan ibu pejabat PSM di 958 Jalan Hose, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1976